Fb
Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
Archives
Latest News
 
Nst-studio
Pertisa dan VOKfm yakin hubungan baik beri manfaat pada artis |  12 sikul id Tuaran kotoimo sakadai RM1 bilion |  Pisokodungan ogirot kapanahak koundaran kumaa artis nokoiyonon |  Seri Mengasih Centre expected to relocate by December |  Masyarakat perlu sentiasa bekerjasama membantu usaha perangi wabak denggi |  Kekaumas berjaya adakan program Sembang Santai bersama No’man |  Ketua Menteri akan rasmi Pesta Gambus Peringkat Negeri Ahad ini |  Pengampunan 2.0 diadakan di Inanam 24 dan 25 Feb ini |  Institusi JKKK penting tarik penglibatan rakyat majukan luar bandar: Musa |  Winning start for Juniors |  Jesselton Reds anniversary dinner on March 17 |  Luton A outgun Luton C in decider |  Football legends can transform youngsters into better players |  A clinical psychologist in East Malaysia |  Brazen street brawl caught police attention | 
 BM

Tenggiling Sunda Sabah kini dilindungi sepenuhnya

14th February, 2018

OLEH ROZZALIN HASHIM

SANDAKAN: Status tenggiling Sunda kini telah dinaikkan iaitu diklasifikasikan sebagai haiwan yang dilindungi sepenuhnya di Sabah, dan berada di bawah kumpulan sama bagi Orangutan, beruang Sun Bear dan beberapa spesies ikon lain yang terdapat di negeri ini.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Masidi Manjun berkata ini bermakna ia dilarang bagi aktiviti memburu, memakan atau menjual tenggiling atau bahagian anggotanya dan pesalah boleh dikenakan denda maksimum seperti yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997.

“Dokumen untuk menaik taraf status perlindungan tenggiling ini telah diluluskan Kabinet negeri Sabah,” katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran arca tenggiling di Lapangan Terbang Sandakan di sini kelmarin.

Teks ucapan beliau dibacakan Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Kamarlin Ombi. Arca mamalia itu diperbuat daripada papan pengiklanan polikarbonat yang dikitar semula dan botol terpakai.

Masidi berkata satu daripada cabaran besar dalam pemeliharaan tenggiling ini adalah sangat sedikit diketahui tentang ‘makhluk yang sangat berahsia dan sukar difahami ini’.

Beliau berkata selama berjuta-juta tahun, tenggiling telah membiak dan sukar dikesan dan sering didapati dalam ketumpatan rendah berdasarkan kajian penggunaan teknologi perangkap kamera.

Ini menjadikan mamalia kecil ini jarang dilihat dan sukar untuk menjalankan kajian, menyebabkan saintis percaya spesies haiwan ini dalam bahaya kepupusan yang ketara, katanya.

Beliau berkata walaupun wujud undang- undang melindungi hidupan liar di banyak negara, pemburuan dan penyeludupan haiwan hidupan liar secara haram, masih berterusan.

“Trend hari ini menunjukkan gajah, badak dan tenggiling, spesies yang paling banyak diburu secara haram bagi mendapatkan gading, tanduk dan sisik.

“Sudah pasti ancaman bagi tenggiling ini semakin serius sejak lima tahun kebelakangan ini. Tenggiling adalah haiwan yang paling terdedah kepada ancaman pemburu haram,” katanya.

Masidi berkata sisik dan daging tenggiling mendapat permintaan tinggi di pasaran Asia yang kononnya mempunyai sifat penyembuhan yang menakjubkan.

Beliau menegaskan masyarakat tempatan boleh memainkan peranan positif dalam membantu mengekang perdagangan haram hidupan liar.

Mengenai pameran arca tenggiling di lapangan terbang itu, beliau berkata ia adalah hasil kerjasama Future Alam Borneo, Danau Girang Field Centre dan Malaysia Airports Berhad dan pameran seumpama itu adalah penting bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai hidupan liar di negeri ini.

Masidi berkata sudah tiba masanya bagi badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalin kerjasama dengan Malaysia Airports untuk memerangi jenayah hidupan liar dan menghantar mesej bahawa seperti manusia, hidupan liar juga mempunyai hak untuk hidup di bumi hijau ini.

Beliau berharap NGO akan mengekalkan momentum agar terus meningkatkan kesedaran mengenai pemerdagangan haram hidupan liar dan terus membantu usaha penguatkuasaan bagi mengekang gejala itu.

Arca tenggiling itu yang ditempatkan di pintu masuk balai berlepas, hasil rekaan Japson Wong daripada JF Production.

   
Email Print
   
 
 
E-browse