|
23rd July, 2008
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang mempermainkan akuan bersumpah, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar).
Katanya kerajaan tidak berhasrat untuk menghalang sesiapa pun untuk membuat akuan bersumpah walaupun terdapat kritikan terhadap tindakan penyiasat persendirian, P Balasubra-maniam, yang membuat dua perakuan ber-sumpah bercanggah dalam tempoh 24 jam baru-baru ini.
“Saya harap rakyat faham bahawa bila kita buat akuan sumpah, ia adalah serius, dan kalau palsu, kita boleh ambil tindakan terhadap mereka,” katanya ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan bagi kementerian itu di Dewan Negara kelmarin.
Mengenai aduan Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau tidak menerima salinan laporan polis mengenai dakwaan liwat yang dibuat terhadapnya oleh bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Az-lan, Syed Hamid berkata salinan hanya diberikan jika ada pertuduhan.
“Di bawah peruntukan Seksyen 51A, Kanun Tatacara Jenayah, salinan laporan hanya dibekal-kan sekiranya ada pertuduhan, dan jika dibekal-kan juga akan menyusahkan pihak yang buat aduan,” katanya.
Mengenai satu perkara lain, Syed Hamid berkata kerajaan akan memperbaiki nisbah anggota polis dan kakitangan awam daripada 1:280 ketika ini kepada 1:250 atau 12 peratus lebih tinggi seperti disarankan oleh Interpol.
“Polis Diraja Malaysia mempunyai tujuh jabatan dan kakitangan seramai 97,710 orang dan daripada jumlah itu 84 peratus terbabit dengan tugas kepolisian,” katanya.
Mengenai langkah kerajaan untuk menambah Pusat Tahanan Sementara untuk pendatang asing tanpa izin di seluruh negara yang dianggap membazir, Syed Hamid berkata ia perlu diwujudkan bagi menempatkan mereka yang ditahan sementara menunggu hasil siasatan.
“Sekiranya kita tidak menambah kemudahan ini, penjara di Malaysia akan sesak dan ini men-yusahkan pengurusan penjara,” katanya.
|