|
|
|
ANTARA DIRAMPAS ... Dua buah komputer riba serta satu kamera digital dan empat telefon bimbit antara barang curi yang ditemui daripada suspek.
|
23rd July, 2008
PENAMPANG: Polis berjaya menumpaskan satu kumpulan penjenayah remaja tempatan dan menahan tiga ahli termasuk ketua kum-pulan itu pada 14 Julai.
Polis menemui semula beberapa barangan curi bernilai RM25,000 dari rumah ketiga-tiga suspek itu.
Dua orang individu yang dipercayai membeli dua buah komputer riba dari suspek juga turut ditahan untuk membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah DSP Madang Usat memberitahu wartawan dalam satu sidang media di sini kelmarin berkata dari siasatan menunjukkan suspek berumur 14 dan 16, termasuk ketua kumpulan berusia 18 tahun telah aktif dalam jenayah pecah rumah dan curi sejak awal tahun ini.
“Kesemua mereka telah tercicir dari sekolah,” katanya sambil menambah kumpulan penjenayah ini terlibat dalam tujuh kejadian pecah rumah dan curi dalam daerah Penampang.
Barang-barang curi yang berjaya di temui dari ketiga suspek termasuk sembilan buah basikal, dua komputer riba, satu kamera digital dan empat buah telefon bimbit.
Madang berkata polis menahan dua individu itu setelah menahan ketiga ahli kumpulan remaja berkenaan.
“Polis menahan kedua individu setelah mereka gagal memberi penjelasan yang memuaskan mengenai komputer riba yang mereka miliki,” kata Madang.
Kedua individu berkenaan telah ditahan re-man untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana dipercayai memiliki barang curi.
Siasatan menunjukkan kedua individu berkenaan telah membeli komputer riba dari suspek dengan harga RM200 sebuah.
Madang berkata modus operandi kumpulan penjenayah remaja itu menggunakan alat mengait kunci jendela yang tidak ditutup rapi semasa penghuni rumah sedang tidur atau keluar rumah.
“Suspek melakukan jenayah pada siang dan malam hari,” tambah Madang.
|