|
22nd July, 2008
SANDAKAN: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Yahya Husin berkata keluasan pengeluaran hasil tanaman padi di Sabah susut setiap tahun dan menghalang usaha mencapai sara diri 60 peratus bekalan beras dalam negeri.
Beliau berkata berdasarkan rekod jabatan mendapati kekurangan setiap tahun itu dari keluasan 41,217 hektar (2003), ke 40,822 hektar (2004), dan susut lagi pada 5005 kepada jumlah 39,631 hektar.
“Lagi pengurangan ini ketara apabila menunjukkan penurunan seluas 60 hektar lagi pada 2006. Sekiranya aliran ini terus berlaku ke manakah arah tuju industri padi negeri ini kerana matlamat mencapai tahap saradiri sebanyak 60 peratus bekalan padi kelak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Mesyuarat Tahunan Jabatan Pertanian Sabah yang disertai oleh Ketua-Ketua Seksyen Jabatan selama lima hari bermula Isnin hingga Jumaat ini di Dewan Besar Institusi Latihan Perindustrian (ILP), di sini kelmarin.
Beliau berkata jumlah keseluruhan keluasan tanah negeri Sabah ialah sejumlah 7.38 juta hektar dan kawasan sesuai untuk pertanian ialah seluas 2.12jutar hektar dan daripada keluasan tersebut 322, 601 hektar adalah sesuai untuk tanaman padi.
Katanya, daripada seluas 1,411,220 hektar dari jumlah keluasan tanaman yang bangunkan, 39,571 hektar adalah tanaman padi yang mana semuanya dibangunkan oleh pekebun kecil.
Bagaimanapun beliau berkata berdasarkan pelan tindakan Dasar Pertanian Negeri Sabah Kedua (DPNSK-2), dari ( 1999–2010 ), memaksimumkan pendapatan melalui penggunaan optimum sumber dalam sektor bagi pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negeri.
Menurut Timbalan Ketua Menteri itu DNS-2 juga turut menentukan halatuju pembangunan komoditi tanaman meliputi tanaman industri serta tanaman seperti kopi, sago dan cendawan dan termasuk tanaman padi.
Sehubungan itu, Yahya berkata bagi mempastikan hasil pengeluaran padi dalam negeri mencapai ke tahap saradiri, maka pelan DPNS 2 akan dijadikan sebagai panduan untuk mencapai tahap itu.
Dalam perkembangan sama, katanya bagi meningkat mutu pengeluaran bekalan padi, beberapa pendekatan telah dibuat melalui hasil penyelidikan yang telah menghasilkan 19 pelbagai benih padi serta menerusi program tersebut telah menyediakan tiga buah pusat Pemprosesan Benih Padi di Papar, Kota Belud dan Tenom.
|