|
17th May, 2008
BELURAN: Lima sekeluarga maut selepas kereta Kancil yang mereka naiki bertembung dengan sebuah pacuan empat roda dalam satu kemalangan di Kilometer 10, Kampung Nangka Jalan Beluran – Sandakan awal pagi Jumaat.
Jumlah mangsa yang terlibat dalam kejadian kemalangan ini adalah tujuh orang dan lima daripadanya terkorban dan dua lagi terselamat dalam kejadian pada jam 5 pagi di jalan tersebut.
Kesemua mangsa yang terkorban adalah pemandu dan penumpang Kancil iaitu empat lelaki dan seorang wanita termasuk seorang kanak-kanak berusia 12 tahun yang kesemuanya meninggal dunia di tempat kejadian.
Mangsa yang terbunuh ialah pemandu kereta Kancil itu, Am Bin Balikung, 48, dan kakaknya Am, Munah, 56 dan dua lagi adik mereka yang dikenali sebagai, Gettum dan Satuk yang berusia antara lingkungan 20 hingga 30an, manakala kanak-kanak 12 tahun yang terkorban ialah Joshua, anak kepada Am Balikung.
Ketua Polis Daerah, DSP Shivananthan yang mengesahkan kejadian berkata, kesemua mangsa yang terkorban mempunyai hubungan keluarga.
“Ketika kejadian mangsa berlima yang menaiki kereta Kancil dalam perjalanan dari Beluran menuju ke kawasan Sugut, manakala pacuan empat roda pula menghala ke pekan Beluran,” katanya.
Shivananthan berkata, sebaik tiba di tempat kejadian di antara mereka dipercayai gagal mengawal kenderaan mereka lalu ber-tembung yang menyebabkan kejadian maut ini,” katanya
Bagaimanapun katanya pemandu pancuan empat roda yang berusia 29 tahun hanya mengalami cedera ringan dan seorang lagi penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya kesemua mangsa dihantar ke Hospital Daerah Beluran untuk bedah siasat sebelum dituntut oleh keluarga untuk tujuan pengebumian.
Menurut Ketua Polis Daerah Beluran itu, polis sedang menjalankan siasatan rapi berhubung punca kejadian.
|