|
|
|
HIDUP UMNO ... Abdullah me-laungkan “Hidup Umno” selepas menyampaikan amanatnya semasa Sambutan Ulang Tahun Umno Ke-62 di Dewan Merdeka Pusat Da-gangan Dunia Putra (PWTC) kelmarin. Cerita lanjut lihat Mukas 3. - Foto Bernama
|
12th May, 2008
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi kelmarin meminta anggota Umno untuk bersama-sama membantu usaha pemimpin parti bagi menghapuskan tanggapan negatif kononnya Umno dan kerajaan Barisan Nasional (BN) sebagai sebuah gabungan yang sombong dan lemah.
Perdana Menteri berkata usaha gigih itu perlu kerana hakikatnya Umno yang menjadi parti tunjang kepada BN telah berusaha yang terbaik bagi memenuhi janji untuk melaksanakan tanggungjawab serta amanah demi menjaga kepentingan rakyat selama-lamanya.
“Teruskan perjuangan. Inilah cara yang kita gunakan, bukannya sekadar melaungkan moto bersatu, bersedia, berkhidmat semata-mata. Ini kita tidak boleh lupa. Ini janji kita.
“Penuhi janji itu dengan kekuatan yang ada dan ia perlu dilaksanakan dengan integriti,” kata Abdullah, yang juga Presiden Umno.
Beliau berkata demikian semasa memberi amanat kepada anggota Umno sempena sambutan ulang tahun Umno ke-62 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putera (PWTC) di sini kelmarin.
Abdullah berkata melalui usaha dan keikhlasan anggota dan pemimpin Umno, barulah rakyat akan menyedari bahawa hakikat perjuangan murni Umno dan BN adalah semata-mata bagi memastikan kepentingan rakyat dan negara terbela.
Bagi mengembalikan keyakinan penuh rakyat, katanya ia perlu datang daripada dalam parti sendiri dan bukannya orang lain kerana jika pemimpin Umno sendiri mendapat sokongan padu daripada anggotanya, rakyat pasti memberikan sokongan.
Mengulas keputusan pilihan raya lepas yang menyaksikan pembangkang memenangi lebih banyak kerusi, Abdullah menasihati Umno dan BN supaya tidak kelam kabut.
Beliau berkata Umno, yang berjaya memenangi 79 kerusi Parlimen yang ditandinginya, dan hakikat bahawa BN masih boleh membentuk kerajaan pusat menunjukkan majoriti rakyat masih tetap yakin dengan kemampuan parti dan gabungan itu.
“(Walaupun) Saya rasa sedih (banyak kekalahan kerusi Umno dan BN tetapi) jangan patah hati, jangan pecahkan parti.
“Pada masa sama jangan berbalah dan bersengketa, nanti kamu gagal,” ingatan PM kepada anggota Umno.
Abdullah juga berharap dalam keadaan sekarang semua wakil rakyat yang terpilih perlu memberikan sumbangan terbaik serta menjaga integriti bagi mengelak pandangan songsang masyarakat kepada mereka.
Berhubung kekalahan banyak kerusi di kalangan parti-parti komponen BN yang lain, Perdana Menteri berkata Umno turut berasa kecewa dan dalam menghadapi situasi itu prinsip kerjasama antara parti komponen perlu dipertingkatkan.
Katanya sejajar dengan amalan demokrasi negara ini, Umno sedia untuk bermusyawarah dengan semua pihak dalam mencari penyelesaian terhadap pelbagai perbalahan, asalkan rakyat mendapat manfaat.
“Musyawarah ini adalah amalan dalam demokrasi. Ini adalah ciri umat Islam. Musyawarah itu ada hikmahnya,” katanya, tanpa merujuk secara terperinci kenyataan berkenaan.
Abdullah berkata Umno bukannya sebuah parti `chauvinist’ atau parti untuk bangsa Melayu semata-mata, sebaliknya sebuah parti untuk rakyat Malaysia.
Menyentuh sokongan generasi muda, Abdullah berkata Pemuda dan Puteri Umno kini berhadapan dengan cabaran kerana kebanyakan golongan muda itu tidak bersama Umno.
“Kedua-dua sayap parti ini perlu berbicara dengan golongan itu dan menyatakan bahawa perjuangan Umno masih relevan. Pergi jumpa dan jangan tunggu mereka datang,” katanya.
Beliau berkata golongan muda ini yang terdiri daripada kumpulan profesional, pengusaha, cerdik pandai, akademia, eksekutif perlu ditarik ke dalam Umno bagi membantu usaha menjayakan mandat rakyat dan meningkatkan keupayaan parti.
“Jangan ada tindakan yang menyusahkan mereka masuk Um-no. Mereka anak kita, adik kita yang berkemampuan untuk membangunkan bangsa. Kita bukan hanya nak majukan parti tetapi juga negara,” katanya.
Abdullah mengakhiri amanatnya kira-kira sejam itu dengan Al-Fatihah dan melaungkan ‘Hidup Umno’ sebanyak tiga kali dan diakhiri dengan ungkapan ‘Berjaya BN’.
Turut hadir ialah Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak, dua Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan Tan Sri Muhyiddin Yassin serta pemimpin sayap parti dan pemimpin kanan Umno.-Bernama
|