|
10th May, 2008
KOTA KINABALU: Empat pelancong dari negara China ditahan setelah didapati memiliki lebih 2,800 DVD cetak rompak termasuk DVD lucah dianggarkan bernilai RM30,000.
Keempat-empat mereka termasuk dua wanita berusia dalam lingkungan 30-an di tahan dalam dua serbuan berasingan di Bundusan Apartment pada 7 April lalu.
Dalam serbuan pertama, yang diadakan pada jam 1.25 pagi, polis menahan seorang wanita dan merampas sebanyak 540 DVD cetak rompak dan 13 DVD lucah.
Polis menyerbu apartmen kedua di bangunan yang sama jam 2.30 pagi dan menahan dua lelaki dan seorang wanita serta merampas 2,300 DVD rompak serta 34 DVD lucah.
Ketua Polis Bandaraya, ACP Ahmad Sofi Zakaria, mengesahkan kejadian dalam satu sidang media di pejabatnya, kelmarin.
Siasatan menunjukkan pelancong dari negara asing yang terlibat dengan kegiatan mengedar dan menjual DVD cetak rompak termasuk DVD lucah menyewa tempat tinggal di kawasan perumahan untuk mengabui pihak berkuasa.
|