Fb
Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
Archives
Latest News
 
Nst-studio
Festival Muzik dan Pameran Eko Pelancongan bakal meriahkan Tambunan 25 Nov ini |  Golongan wanita perlu berani ceburkan diri dalam dunia usahawan |  Polis Labuan rampas pelbagai mesin judi simulator bernilai RM270,000 |  Jabatan Imigresen usir dua wanita Vietnam |  Remaja ditahan memandu bawah pengaruh alkohol, tiada lesen |  Dua beradik terselamat dalam kebakaran |  Lebih 5,000 graduan UMS diraikan pada Majlis Konvokesyen ke-19 |  K'jaan Negeri umum bantuan khas kewangan RM1,500 penjawat awam |  Musa bentang Bajet RM4.1 bilion |  Team Izing dominate Soja Cafe Ranau Open Double Dart Challenge |  Even playing field for Sabah Rhinos hopefuls |  Drunk driver held after slamming car into army camp fence |  Plumber gets 12 years’ jail for raping disabled cousin |  2010 fire victim grateful for new house |  Pan Borneo – Project Delivery Partner questionable | 
 BM

Histeria: Jiwa yang terganggu

17th July, 2017

OLEH JAKARIA DASAN

PERUBATAN MODEN mendefinisikan histeria sebagai suatu keadaan dimana seseorang itu mempunyai emosi berlebihan yang tidak dapat dikesan. Ianya lebih dikenali sebagai gangguan somatisasi, yakni satu bentuk penyakit yang hanya dapat dikesan dari reaksi tubuh bertukar ganas diiringi dengan mimik muka yang menunjukkan rasa sakit amat sangat. Pesakit histeria akan mengalami pelbagai gejala termasuklah, kegelisahan, sesak nafas, pengsan, insomnia, ketakutan serta bermacam-macam ragam seumpamanya.

Dari segi sejarahnya, perkataan histeria berasal dari bahasa Yunani kuno, dimana perkataan histeria itu adalah merujuk kepada uterus atau perut tempat dimana keadaan sakit amat dirasai oleh mereka yang diserang histeria. Disebabkan hal ini, maka perubatan Yunani kuno telah mengaitkan perut dengan rahim sekaligus ini bermaksud bahawa histeria hanya berlaku dalam kalangan wanita sahaja. Namun demikian, pada abad ke-20 definisi histeria lebih dikaitkan dengan sakit yang berkaitan mental, bukan rahim atau fizikal.

Ini terbukti bilamana ada juga orang lelaki yang terkena histeria walaupun dengan jumlah yang agak sedikit berbanding dengan wanita. Malah, sakit histeria telah pun dianggap sebagai suatu penyakit misteri yang tidak dapat dijelaskan sepenuhnya oleh ilmu perubatan moden.

Perkaitan histeria dengan penyakit misteri ini telah menyebabkan masyarakat umum merujuk kes-kes histeria kepada pakar-pakar ilmu perubatan tradisional termasuklah melalui bantuan ustaz-ustaz. Hanya selepas itu pesakit histeria biasanya dirujuk ke klinik atau hospital. Walaubagaimana pun, dalam banyak kejadian yang berlaku, pesakit yang terkena histeria akan sembuh seperti sediakala hanya dengan melalui bentuk perubatan tradisional. Proses kesembuhan yang amat drastik ini menyebabkan kajian mengenai histeria tidak dapat digambarkan dengan jelas dalam konteks ilmu perubatan moden.

Pengalaman sebuah sekolah menengah yang sebahagian para pelajarnya mengalami gangguan histeria baru-baru ini boleh digunakan untuk menjelaskan lagi mengenai kes histeria ini. Para pelajar ini berjaya dipulihkan oleh kakitangan sekolah dan orang perseorangan yang datang memberi bantuan. Mereka ini bukanlah doktor perubatan.

Dengan sedikit ilmu bersumberkan agama dan kepercayaan mereka, para pelajar telah dapat dipulihkan dari keadaan histeria yang dialami. Sekaligus, ini membuktikan bahawa histeria itu adalah lebih kepada sakit yang berpunca dari gangguan yang tidak jelas di mata kasar. Justeru, sejauhmanakah para pelajar ini bebas dari gangguan yang berulang, yakni diganggu kembali oleh penyebab mereka berada dalam keadaan histeria.

Dari temubual dengan mereka yang terkena gangguan histeria menunjukkan bahawa sebelum berada dalam keadaan tidak sedar itu (histeria), mereka melihat beberapa lembaga yang menakutkan yang sentiasa berada di sekeliling mereka atau dimana sahaja mereka memalingkan muka. Dapatan pertama menunjukkan bahawa para pelajar perempuan menyaksikan lembaga yang tidak jelas jantinanya dengan susuk tubuh dan rupa yang menyeramkan.

“Ada lembaga menakutkan sedang merenung tajam ke arah saya di atas bumbung,” “sekejap lembaga itu menghempaskan kepalanya di bawah meja, sekejap ianya melompat-lompat dengan marah di atas meja,” kata dua orang pelajar perempuan yang sudi berkongsi pengalaman mereka. Ini menyebabkan pelajar perempuan yang terkena histeria ini menjerit dan meronta.

Namun, bagi mereka yang mengawal pelajar perempuan yang terkena histeria ini, mereka akan menyaksikan reaksi ganas seperti apa yang diceritakan oleh pelajar berkenaan sebenarnya berlaku kepada diri mereka sendiri ketika histeria. Keadaan dan perilaku menjerit dan meronta seolah-olah memberi indikasi keadaan siksaan terhadap elemen yang mengganggu pelajar itu suatu ketika dahulu di tempat itu.

Dapatan kedua adalah kesan daripada apa yang berlaku terhadap pelajar lelaki yang terkena histeria. Temubual yang dilakukan menunjukkan bahawa pelajar lelaki ini melihat suatu lembaga yang pelik susuk tubuhnya kemudian itu ianya disusuli dengan melihat rakan atau mereka yang berada di sekililing mereka seperti ingin melakukan sesuatu kepada mereka. “Saya nampak kawan saya si A memegang pisau dan mahu membunuh saya,” cerita seorang pelajar lelaki yang terkena histeria.

Sebagaimana berlaku pada pelajar perempuan, keadaan pelajar lelaki ini ketika berada dalam histeria pula hanya cenderung untuk memarahi atau mengelak dari ditenangkan oleh para pelajar lain atau guru yang menenangkan mereka.

Pendekkata, histeria adalah suatu gangguan jiwa yang tidak hanya boleh dihuraikan secara saintifik. Ianya masih bersifat misteri dimana kaedah tradisional adalah lebih meyakinkan. Dalam bahasa perubatan tradisional, ianya sering dikaitkan dengan frasa “tempat yang keras.” Frasa ini memberi maksud bahawa tempat dimana orang yang terkena histeria itu mungkin pernah berlaku peristiwa sedih seperti seksaan atau kemurungan melampau pada suatu ketika dahulu. Dan ada juga mengaitkan sesuatu tempat yang keras itu sebagai rumah atau tempat tinggal makluk halus.

Persoalannya, kenapa tidak semua orang yang tinggal di situ terkena gangguan histeria? Kenapa sebahagian sahaja? Kenapa baru sekarang (dalam jumlah yang ramai), kenapa tidak dahulu? Apakah punca yang menyebabkan gangguan ini berlaku semula? Persoalan ini memberi dapatan ketiga kepada isu histeria. Mungkin pernah berlaku suatu perkara yang tidak baik di tempat tertentu menyebabkan gangguan ini berlaku lagi.

Walau bagaimana pun pembaca perlu tidak pantas membuat kesimpulan bahawa mereka atau komuniti yang diserang histeria ini telah melakukakn sesuatu yang tidak baik. Ada kemungkinan, pihak yang menjadi punca adalah orang luar melakukan sesuatu yang tidak baik di tempat itu. Tempiasnya, terkena kepada komuniti yang tinggal di situ. Banyak punca lain lagi yang boleh menjelaskan perkara ini. Seorang bapa yang ditemui berseloroh, “ini mesti kerja budak-budak nakal di luar pagar. Mereka baling objek dari luar pagar lalu merosakkan tempat keras dalam pagar.”

Secara kesimpulannya, peristiwa histeria melibatkan beberapa orang pelajar ini adalah merupakan satu lagi perisitwa histeria biasa yang sering berlaku di sekolah-sekolah. Cumanya, jika ianya melibatkan kumpulan pelajar yang ramai, pihak berwajib khususnya pihak sekolah dan PIBG perlu segera berganding bahu mengatasinya. Langkah-langkah proaktif dan serius perlu dilakukan dengan kadar segera.

Dalam masa yang sama, kumpulan komuniti di luar sekolah yang arif mengenai tatacara mengatasi hal-hal seperti ini perlu tampil secara sukarela membantu mengatasi situasi sebegini. “Kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan,” ulas salah seorang guru yang ditanya mengenai usaha mendapatkan bantuan dari pihak luar yang berpengalaman mengenai kaedah mengatasi kejadian sedemikian dari terus berulang.

Tidak ada istilah bahawa perkara ini suatu hal yang biasa dan suatu pengalaman yang harus dibiarkan begitu sahaja. Jiwa para pelajar yang terganggu tidak boleh diganggu oleh jiwa yang misteri kewujudannya. Akibatnya, ia akan mengganggu proses pembelajaran yang berjalan baik selama ini. Semoga kita sentiasa berada dalam lindungan Tuhan Yang Maha Esa.

   
Email Print
   
 
 
E-browse