Fb
Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
Archives
Latest News
 
Nst-studio
PPM Tawau minomogundop ponginaman mogohimu 50 tuung gas om 15 kutak tumau pagansak |  315 Pengakap Kanak-kanak Sabah Pramuka sertai Perkhemahan Pek Bercuti |  AADK Sandakan teruskan kempen Perangi Dadah Habis-habisan |  UMS akan bina 10 rumah komuniti di Tawau |  Lebih 5,000 mahasiswa UMS terima konvokesyen bermula 18 November ini |  Mahkamah Jenayah Seksual kanak-kanak bakal beroperasi di Sabah tahun depan |  Lebih 10 buah rumah di Labuan rosak akibat angin kencang |  AmGeneral Insurance announces its latest coverage package |  Kids from six countries to compete in Hot Wheels contest |  Ex-Sabah footballers for Quadrangular Tournament |  Chinese consulate warns nationals of scams |  Suspect in fictitious project has police records |  Flood victims from 12 KB villages evacuated |  DBKK pledges corruption-free |  Govt keeping close tabs on worsening weather | 
 BM

Masyarakat perlu beri sokongan bekas banduan

20th May, 2017

KOTA KINABALU: Masyarakat terutamanya ibu bapa dan ahli keluarga perlu memberikan sokongan dan peluang kedua kepada bekas banduan agar golongan itu berjaya dalam hidup dan tidak mengulangi kesilapan lampau.

Pengarah Penjara Wanita Kota Kinabalu Lim Kim Mooi berkata Jabatan Penjara kini melaksanakan sistem parol iaitu kaedah pelepasan secara perintah parol kepada banduan yang layak untuk menjalani hukuman di luar penjara bagi hukuman berbaki tiga tahun atau hukuman kurang daripada tiga tahun.

“Sebelum pelepasan parol, kita perlu sediakan peluang pekerjaan dan perlu penerimaan keluarga banduan berkenaan. Sekiranya keluarga tidak menerima tetapi ada majikan yang sanggup sediakan pekerjaan dan tempat tinggal, mereka boleh diberikan pelepasan parol.

“Oleh itu kita perlukan sokongan masyarakat. Walaupun mereka bekas banduan dan pernah melakukan kesilapan tetapi kita seharusnya memberikan peluang kedua kepada mereka untuk mengubah kehidupan agar menjadi insan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Program Jalinan Kasih Hari Ibu, Hari Bapa dan Pesta Kaamatan di Penjara Wanita Kota Kinabalu, di sini, kelmarin.

Program tiga dalam satu iaitu, Hari Ibu, Hari Bapa dan Pesta Kaamatan diraikan serentak bagi memberi peluang kepada banduan wanita bertemu seterusnya menyambut hari istimewa itu bersama ahli keluarga mereka.

Program itu antaranya bertujuan memupuk hubungan mesra dan kasih sayang antara penghuni dan keluarga. Pelbagai acara menarik diadakan pada majlis itu termasuk pertandingan Unduk Ngadau, persembahan tarian sumazau dan nyanyian lagu-lagu Kaamatan.

Mengenai program itu Lim berkata, seramai 12 banduan wanita termasuk enam pesalah juvana diberi peluang bertemu ahli keluarga mereka.

“Ia sekaligus memberi peluang kepada ahli keluarga atau ibu bapa melihat sendiri perkembangan anak-anak mereka,” katanya.

Sementara itu seorang bapa yang hadir berkata dia amat gembira melihat perkembangan positif sikap anaknya. “Apabila saya bandingkan sikap anak saya ketika ini dan sebelum masuk sini (pusat pemulihan), memang jauh beza. Saya berharap selepas keluar nanti, dia tidak mengulangi kesilapan lalu tetapi menjadi insan berguna kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.

Bagi para banduan yang diberi peluang bertemu ahli keluarga pada majlis itu, perasaan gembira berbaur sedih terpancar di wajah masing-masing.

Minah (bukan nama sebenar) ibu kepada lapan anak berusia 41 tahun, berkata peluang seperti itu amat berharga untuk memohon maaf dan menyampaikan salam untuk anak-anaknya.

“Saya amat sedih dan kesal dengan perbuatan saya sebelum ini. Bagaimanapun saya menghargai peluang yang diberikan di pusat ini dan saya bertekad menjadi seorang anak dan ibu yang baik.

“Di sini saya belajar menjahit dan berhasrat membuka perniagaan kedai jahit selepas dibebaskan,” katanya yang memulakan hukuman atas kesalahan dadah pada tahun 2015 dan akan dibebaskan pada 2019.

Seorang lagi pesalah muda yang dimasukkan ke pusat itu atas kesalahan dadah pada tahun 2016 berkata, dia gembira kerana ibu dan ibu saudaranya datang pada majlis itu.

“Walaupun bapa saya tidak datang, tetapi sekurang-kurangnya mama dan makcik saya sudi berjumpa dengan saya di sini,” katanya.

Wanita muda itu ingin membuktikan dia juga boleh berjaya seperti orang lain yang belajar di sekolah biasa. “Banyak yang saya belajar di sini termasuk mengenali diri sendiri dan memikirkan kepentingan pelajaran. Sebelum ini saya tidak pernah mengambil tahu kepentingan pendidikan dan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tetapi apabila masuk sini, banyak saya belajar.

“Saya mahu buktikan saya juga boleh berjaya seperti orang lain yang tidak pernah masuk sini,” katanya yang akan menduduki peperiksaan SPM tahun depan.-oleh Marryan Razan

   
Email Print
   
 
 
E-browse