|
RASMI ... Musbah menekankan butang telaga tiub untuk menyedut air sedalam 60 kaki untuk mengisi air ke dalam tangki sambil disaksikan kakitangan Masti dan PPUMS.
|
20th March, 2017
KOTA BELUD: Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Musbah Haji Jamli berkata pembinaan telaga tiub merupakan cara terbaik untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi oleh penduduk Kampung Taburan.
“Projek telaga tiub Kg Taburan itu yang telah siap sepenuhnya pada 10 Mac lalu itu mampu menyalurkan bekalan air walaupaun ketika musim kemarau panjang.
“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya sangat mengalu-alukan pembinaan telaga tiub sebagai usaha yang mampu mempelbagaikan sumbar bakalan air kepada penduduk kampung,” katanya ketika merasmikan telaga tiub Kampung Taburan, 35 kilometer dari Pekan Kota Belud pada Sabtu.
Projek pembinaan telaga tiub itu adalah salah satu daripada program dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam (Masti) dengan kerjasama Persatuan Pegawai dan Pengurusan Profesional Universiti Malaysia Sabah (PPUMS).
Musbah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Tempasuk berkata, program CSR seumpama itu perlu diteruskan pada masa-masa akan datang kerana ia mampu memberi manfaat kepada masyarakat khususnya di kawasan luar bandar.
Beliau juga berharap penduduk kampung supaya dapat menggunakan dan menjaga kemudahan yang diberi secara percuma itu kepada mereka.
Turut hadir ahli geofizik Abdul Razak Ahmad. – OLEH SBJ/GS
|