Local
Business
Sports
Leisure
BM
Kadazan Dusun
EDUCATION
ECO
Archives
Latest News
 
Nst-studio
Lelaki terbunuh kereta terhumban parit |  Hukuman mati 32 kesalahan di bawah lapan akta dimansuhkan |  Keningau, Tawau seal grand final tickets |  Water supply – review can save RM1 billion |  Sabah opposition grill Warisan |  Halloween Fest fun for children at Centre Point Sabah |  Saturday Hawkers’ fest with a treat |  Polinta kigaab papahantoi projik ampangan |  KL BAH, GHRT Ekstrem nakahantoi Pihavanan Borneo Paintball 2018 |  Konvokesyen susumikul Tabika/Taska Boogizan Parliament Tenom |  Ukum patazon 33 kahasaan id siibo vahu akta pinunso |  Business community urged to join Sabah Export Day |  Decrease price rate to boost economy |  No closure yet for Kgau, Tawau IPGs |  Trash-free event at first Tanjung Aru Beach Fest | 
 BM

LHDNM akan senarai nama individu gagal bayar cukai tahun depan

20th December, 2016

KOTA KINABALU: Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) akan mengambil tindakan tegas termasuk menyenaraikan nama individu yang gagal membayar cukai dalam sistem rujukan maklumat kredit berpusat (CCRIS) mulai tahun depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Sabin Samitah berkata, cadangan menyenaraikan nama individu yang gagal mematuhi pembayaran cukai dalam CCRIS adalah untuk meningkatkan kadar pematuhan cukai semasa dan membendung aktiviti pelarian cukai.

“Kita telah memberikan peluang kepada para pembayar cukai dan pengarah-pengarah syarikat untuk berbincang dengan LHDN untuk membayar cukai secara ansuran jika mereka menghadapi masalah.

“Tetapi jika mereka masih berdegil tidak mahu membayar, kita bercadang untuk menyenaraikan nama mereka di bawah CCRIS pada tahun depan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perhimpunan Khas Bersama Ketua Pegawai Eksekutif / Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri, di Dewan Hasil Menara Hasil LHDNM Kota Kinabalu, di sini, kelmarin.

Turut hadir Pengarah LHDN Sabah Dr.Sotimin Muhalip dan pengarah-pengarah cawangan LHDN Sabah. Sabin berkata, perbincangan dengan Bank Negara telah bermula, apa kaedah yang sesuai untuk menyenaraikan nama pembayar-pembayar cukai tegar di bawah CCRIS.

“Apabila nama mereka tersenarai di dalam CCRIS, mereka mempunyai masalah untuk mendapatkan kemudahan daripada institusi kewangan atau menghadapi masalah untuk mendapatkan pinjaman bank,” katanya.

Terdahulu itu ketika berucap, beliau berkata bermula Januari hingga Disember 2017, LHDN akan menggerakkan secara optimum Pasukan Petugas Siasatan Cukai untuk menangani isu pelarian cukai, meningkatkan pematuhan cukai dan mengecilkan jurang cukai serta meningkatkan kutipan hasil cukai langsung negara.

“Secara keseluruhannya, seramai 272 pegawai perisik, penyiasat cukai dan tindakan khas akan membuat risikan, siasatan dan bertindak terhadap beberapa industry yang telah dikenalpasti termasuk kedai emas dan pajak gadai, aktiviti penyeludupan, pinjaman wang berlesen, perniagaan dalam talian, perubatan dan kes-kes tidak patuh cukai yang dikenalpasti dari semasa ke semasa,” katanya.

Sabin berkata dari segi amaun kutipan, melalui program ini, LHDNM meletakkan sasaran untuk mengutip hasil sebanyak RM2 bilion.

“Sasaran ini adalah 165 peratus lebih tinggi berbanding prestasi siasatan cukai pada tahun 2015 iaitu hanya sebanyak RM755.44 juta.

“Melalui gerak kerja Pasukan Petugas Siasatan Cukai ini, pembayar cukai yang terlibat boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan-peruntukan di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan peruntukan Anti-Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Akta Aktiviti Haram 2001 (Akta 613),” katanya.

Katanya lagi, bagi pembayar cukai yang gagal mengemukakan penyata atau memberi notis pengenaan cukai, mereka boleh dikenakan penalty bersamaan dengan tiga kali amaun cukai yang harus dibayar.

“Manakala bagi mereka yang mengemukakan penyata cukai yang tidak betul pula denda tidak kurang daripada RM1,000 dan tidak melebihi RM10,000 dan hendaklah membayar satu penalty khas bersamaan dengan dua kali amaun cukai yang terkurang lapor.

“Bagi pengelak cukai secara sengaja, mereka boleh dikenakan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali dan hendaklah membayar satu penalty khas sebanyak tiga kali amaun cukai yang dikenakan,” katanya.

Sabin berkata selain tindakan siasatan cukai, pada tahun 2017, LHDNM juga akan meningkatkan liputan audit cukai bagi meningkatkan pematuhan cukai. Pendekatan audit menyeluruh terhadap kes-kes berisiko tinggi terdapatnya pelarian cukai akan dilakukan.

Katanya lagi audit berfokus hanya akan dijalankan terhadap industry tertentu yang didapati terlibat dengan aktiviti Aggressive Tax Planning, antaranya syarikat-syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia.

“Ia bertujuan untuk memastikan syarikat-syarikat multinasional itu membayar cukai di Malaysia dan tidak memindahkan keuntungan syarikat mereka ke negara-negara yang mempunyai rejim cukai yang lebih rendah dan menyebabkan ketirisan hasil cukai di Malaysia,” katanya.

Mengenai lawatan rasmi pertama ke LHDN Kota Kinabalu, selepas pelantikannya sebagai CEO LHDNM pada 12 Disember lepas, Sabin berkata: “Saya mengambil kesempatan bertemu kakitangan termasuk pengarah-pengarah cawangan dan negeri seterusnya memberikan penerangan mengenai strategi pemantapan percukaian LHDN pada tahun depan, kerana pada tahun depan kerajaan menetapkan LHDN mengutip cukai sebanyak RM127 bilion”.

“Kita amat yakin dengan saiz ekonomi negara ketika ini, kita mampu mencapai sasaran yang ditetapkan sekiranya LHDN meningkatkan fokus dalam menjalankan tugas-tugas utama dan melaksanakan strategi yang berkesan,” katanya. – OLEH MARRYAN RAZAN – marryan@newsabahtimes.com.my

.

   
Email Print
   
 
 
E-browse